Blog

18 Jun 2019 (Selasa) - Sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat sekolah disambut meriah dengan pelbagai hidangan dan juadah yang dibawa oleh warga sekolah terutamanya murid-murid. Turut memeriahkan sambutan apabila PIBG berbesar hati menyumbang makanan berupa ayam goreng pada hari berkenaan. Kemeriahan hari raya dirasai dengan adanya hiasan pentas bertemakan keindahan beraya di suasana kampung. Terima kasih kepada Cikgu Faiq dan pasukan yang telah mengorbankan masa dan tenaga bagi menyiapkan hiasan tersebut. Selesai sesi di sebelah pagi bersama murid, di sebelah petang pula, satu sesi jamuan 'Rumah Terbuka' telah diadakan dengan jemputan terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Wilayah Bangsar Pudu dan Guru Besar sekolah-sekolah berhampiran. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih atas kehadiran semua yang sudi meluangkan masa. 

Lihat kemeriahan suasana Hari Raya di sini.

23 Mei 2019 - Program tahunan SK Seri Bintang Utara anjuran Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Moral setiap kali bulan Ramadan ini berlangsung seperti yang dirancang. Majlis Khatam al-Quran berlangsung di Surau Siti Khadijah al-Khuwailid bermula pada pukul 8.00 pagi dan berakhir pada pukul 11.00 pagi . Terima kasih atas kehadiran AJK PIBG dan ibu bapa yang turut memeriahkan program ini. Pihak sekolah turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada semua ibu bapa yang bermurah hati memberi sumbangan bagi menjayakan Majlis Khatam al-Quran ini. 
Bagi Program Penghayatan Moral pula, pelbagai aktiviti telah dirancang bagi murid-murid bukan beragama Islam. Program telah dijalankan di Pusat Sumber Sekolah dan bilik darjah.

Foto sekitar majlis di sini.

16 Mei 2019 - Sempena Sambutan Hari Guru, Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan (BKGK) telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama keluarga di Laman Bestari.  Pada majlis beginilah keluarga besar SK Seri Bintang Utara dapat berkumpul dan beramah mesra bersama. Tahniah kepada BKGK atas penganjuran majlis ini dan terima kasih atas kehadiran semua.
Foto sekitar majlis di sini.
03 Mei 2019 -Sambutan Hari Guru pada tahun ini disambut lebih awal kerana tarikh 16 Mei jatuh pada bulan Ramadan. Hari Guru tahun ini disambut meriah dengan guru-guru memperagakan pakaian etnik antarabangsa. Acara bermula pada pukul 10.00 pagi dengan para guru berarak ke pentas untuk nyanyian lagu 'Guru Malaysia', bacaan ikrar dan pemotongan kek. Majlis diteruskan dengan beberapa buah persembahan nyanyian dari murid-murid dan guru. Beberapa anugerah telah disampaikan iaitu Kehadiran Penuh Guru Tahun 2018, Buku Rekod Mengajar Terbaik, Kehadiran Paling Awal dan Pakaian Tema Terbaik. Tahniah kepada semua penerima anugerah. Semoga menjadi inspirasi kepada guru-guru lain. Selesai majlis di Laman Bestari bersama murid-murid, agenda seterusnya adalah sesi jamuan dan bertukar-tukar hadiah antara guru.

Tahniah juga kepada staf sekolah yang bertukar keluar atas kenaikan pangkat sebagai ketua kerani iaitu Puan Monalisa Bt AG Besar. Semoga terus maju di tempat baru. Beliau turut diraikan dalam majlis pada hari ini.

Galeri Foto di sini.

03 Mei 2019 (Jumaat)
- Perasmian Program Ihya' Ramadan telah dirasmikan oleh Pn Noriah Bt Hj Ismail, Guru Besar SK Seri Bintang Utara. Majlis Perasmian dimulakan dengan bacaan Tilawah al-Quran oleh adik Yusuf Ashraf (6 Bestari), pementasan pentomin dan gimik pengumuman tarikh mula puasa oleh murid-murid. Majlis disusuli dengan ucapan guru besar, Pn Noriah. Seperti tahun-tahun sebelum ini, Panitia Pendidikan Islam telah menyusun pelbagai program sempena bulan Ramadan. Program Tadarus al-Quran pada waktu rehat, Solat Sunat Dhuha dan kemuncak program pada 23 Mei ini iaitu Majlis Khatam al-Quran.

Galeri Foto di sini.

02 Mei 2019 (Khamis) - Duta Penggerak Digital (Digital Maker Champion) SK Seri Bintang Utara seramai 31 orang murid berpeluang ke KRU Academy, Taman Teknologi Malaysia, Bukit Jalil bagi mempelajari ilmu berkaitan fotografi dan videografi.


27 Apr 2019 - Tahniah Rumah Prouse (Ungu) yang telah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Sukan Olahraga Kali ke-55 yang berlangsung baru-baru ini.



20 April 2019 (Sabtu) - Terima kasih kepada semua ibu bapa yang hadir bagi menjayakan aktiviti gotong-royong pada tahun ini. Antara aktiviti yang dijalankan pada tahun ini  adalah membersihkan kawasan taman herba, menanam dan menempatkan pokok-pokok hasil sumbangan ibu bapa, menampal simen lantai yang pecah, keceriaan tandas, membaiki gendang cina dan mengecat sekitar kawasan tempat letak kereta. Turut sama menjayakan program ini adalah ibu bapa Prasekolah (PEWARIS) yang hadir untuk keceriaan Prasekolah.

Semoga usaha murni semua pihak ini dapat mengeratkan silaturrahim antara guru dan ibu bapa seterusnya menjadikan sekolah kawasan yang ceria dan selesa untuk anak-anak belajar. Pihak sekolah sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua yang hadir.


Galeri foto di sini.
Pada 16-17 April yang lalu, SK Seri Bintang Utara telah menghantar beberapa orang wakil dalam Kejohanan Taekwondo MSSWPKL yang berlangsung di Stadium Titiwangsa. Seramai 3 orang peserta telah menunjukkan kehebatan dalam kejohanan ini. Berikut adalah pencapaian mereka :
1. Alif Bin Ikmal Hisham (3 Cemerlang) - Emas Kategori Pomsae (7-9 Tahun)
2. Muhammad Raef Bin Khairol Azri (3 Bestari) - Emas Kategori Lightweight (7-9 Tahun)
3. Aimee Faiz Bt Khairul Faizi (4 Bestari) - Perak Kategori Featherweight (10-12 Tahun)
Tahniah kerana telah mengharumkan nama sekolah. Semoga kejayaan ini diteruskan untuk peringkat yang lebih tinggi.

Galeri foto di sini.
Galeri video di sini.
Di Seri Bintang, Pembelajaran Melangkaui Sempadan

Kekal Berhubung Bersama Kami

Segala komunikasi dan penyampaian maklumat SK Seri Bintang Utara adalah melalui laman web ini, surat-menyurat dan juga aplikasi Whatsapp sahaja . Pihak sekolah tidak mempunyai sebarang akaun media sosial rasmi seperti Facebook, Instagram dan Twitter. 

Statistik Kunjungan

778618
Hari IniHari Ini226
SemalamSemalam422
Minggu IniMinggu Ini2402
Bulan IniBulan Ini1583